Thursday, 26 May 2022

Kayu gaharu masih ada permintaan

  • Published in Laporan Khas

JASIN, 8 Mei- Gaharu ialah resin beraroma yang terhasil daripada pokok karas atau Aquilaria.

Nilainya melebihi harga emas.

Namun sejak beberapa tahun lalu, pokok karas menjadi antara spesies di bawah Appendix II, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Justeru, langkah dan kajian dilaksana usahawan gaharu dalam memastikan pokok berharga ini tidak pupus.

Gaharu bukan lagi aroma atau produk yang asing di seluruh dunia.

Ia popular digunakan dalam penghasilan minyak wangi selain untuk perubatan dan acara keagamaan.

Bagaimanapun, di negara ini, tidak ramai pengusaha gaharu kerana risiko dan tempoh menunggu hasilnya yang lama.

Namun, berbeza buat pengusaha gaharu, Haminuddin Majid yang menceburi bidang ini sejak lebih 10 tahun lalu kerana minat dan perasaan ingin tahu terhadap keistimewaan gaharu.

Dia pada mulanya membuat kajian dan menghasilkan pati minyak gaharu menggunakan pokok karas liar.

Namun, apabila pokok berkenaan semakin sukar untuk ditemui, dia mengambil keputusan untuk menanam sendiri pokok berkenaan dan kini dia mempunyai 10,000 pokok karas di ladang seluas 10 ekar di sekitar Jasin.

Selain itu, dia turut terlibat dengan penanaman 50,000 pokok karas yang merupakan usahasama pekebun pokok karas di seluruh semenanjung Malaysia.

"Masalah pada awal penubuhan kita adalah mcm mana nak hasilkan teras gaharu. Dengan usaha penyelidikan yang kita buat, kita berjaya untuk menghasilkan teras gaharu jadi biasanya ia bukan satu perkara mudah untuk dapatkan inokulum itu, mcm mana kita nak buatkan penghasilan gaharu tapi dgn bantuan rakan-rakan, kita buat 'try and error', maka akhirnya kita berjaya lah selepas menemui beberapa kegagalan," kata Haminuddin ketika ditemu bual RTM.


(Pengusaha kayu gaharu, Haminuddin Majid ditemu bual media berhubung permintaan kayu gaharu jualannya)

Untuk mendapatkan hasil gaharu berkualiti, proses inokulasi dilakukan pada pokok karas yang telah berusia lebih empat tahun menggunakan cairan khas yang dihasilkan sendiri oleh Haminuddin.

Selepas proses inokulasi, pokok karas akan dibiarkan untuk tempoh beberapa tahun lagi sebelum ditebang.

Haminuddin menghasilkan pelbagai produk berasaskan gaharu untuk dipasarkan ke beberapa negara termasuk Timur Tengah selain Singapura dan Brunei.

Selain pati minyak gaharu, produk hiliran lain turut dihasilkan antaranya songkok dan sejadah, tasbih, tongkat, serbuk teh dan kopi, air suling, pewangi kereta dan sebagainya.

Walaupun pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun lalu merencatkan sedikit proses untuk meng-eksport gaharu ke pasaran luar namun ia memberi peluang kepadanya meneroka dan menghasilkan lebih banyak produk daripada gaharu.

"Kalau kita bandingkan 10 tahun dulu, agak susah sebab apabila orang sebut gaharu dia tahu Mekah, bila kata Malaysia, Malaysia punya gred rendah. Ramai yang tak tahu Malaysia mempunyai gred terbaik. Dari segi permintaan tidak ada masalah, dari segi produk kita keluarkan adalah gaharu asli bukan campuran," tambah Haminuddin.

Usahawan yang mahu menceburi perusahaan gaharu diharap untuk tidak mudah berputus asa dan sabar menunggu hasil tuaiannya.

Laporan Nurul Ashikin Abdul Halim, Berita RTM.