Tuesday, 17 May 2022

'Hentikan Diskriminasi' kuman kusta tidak menjangkiti jika pesakit diberi rawatan segera

  • Published in Laporan Khas

FOTO KKM

KUALA LUMUR, 26 Januari- Hentikan diskriminasi sosial dan pastikan penghidap kusta segera mendapatkan rawatan bagi memastikan penularan penyakit yang disenaraikan dalam Penyakit Tropikal Terabai (NTD) itu dapat dibasmi sepenuhnya.

Stigma terhadap penghidap kusta yang sudah berlarutan sejak ratusan tahun juga perlu diperbetulkan kerana sehingga kini anggapanpenyakit kusta sukar dirawat dan perlu diasingkan masih berada dalam komuniti.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Dr. Radhiah Mustafar berkata, stigma itu bukan sahaja dirasai oleh pesakit, malah ahli keluarga, saudara terdekat juga petugas kesihatan yang merawat pesakit.

"Sampai beberapa tahun bekerja di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) keluarga dia (kakitangan) masih lagi mempunyai perasaan was-was atau takut-takut. Saya berharap kita bersama-sama menyampaikan kepada orang awam tentang perkara (stigma) itu, sebab masih ada lagi yang bertanya, penyakit Kusta masih ada," kata Dr. Radhiah ketika ditemu bual wartawan RTM sempena Hari Kusta Sedunia yang disambut pada setiap Ahad terakhir bulan Januari.

Tambahnya selaras tema tahun ini 'Hentikan Diskriminasi', kusta sebenarnya boleh dirawat sama seperti penyakit lain.

Malah rawatan segera amat penting kerana apabila kusta telah dirawat, bakteria 'Mycobacterium Leprae' yang sangat mudah tersebar melalui cecair badan individu tidak lagi boleh disebarkan kepada orang lain.

"Sebab itu disarankan sesiapa yang terkena penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin untuk membasmi kusta," katanya.

Di PKKN yang juga pernah dikenali sebagai Lembah Harapan, kini tidak lagi aktif merawat pesakit kusta, sebaliknya lebih fokus sebagai pusat latihan berkaitan penyakit itu.

"Kami mendidik dan melakukan pemeriksaan berkaitan penyakit kusta selain memberi taklimat kepada orang awam supaya membuang stigma, jangan takut dengan pesakit kusta juga bekas pesakit kusta kerana individu yang sudah sembuh tidak akan dijangkiti semula.

Dr. Radhiah juga menasihatkan mereka yang mempunyai gegala jangkitan disaran untuk segera membuat saringan serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan.

Sementara itu, ada kalangan individu yang ditemu bual berasa hairan, penyakit kusta masih dikesan di negara ini, meskipun penawar telah ditemukan.

"Ubat-ubat yang ada pada zaman sekarang bagi saya kusta bukan masalah lagi, tetapi saya hairan kusta masih ada pada zaman sekarang," menurut Iylia Ihsan Harith Gordon.

Tidak pasti penyakit itu masih ada atau sebaliknya, Rajeswary Appahu berkata, "hanya kerana mereka pernah dijangkiti Kusta sebelum ini tidak sepatutnya kita menjauhi mereka atau bersentuhan."

Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen mula direkodkan di Malaysia seawal tahun 1926, saat tiada rawatan khusus sehingga penghidap perlu diasingkan daripada keluarga dan komuniti.

Namun pada tahun 1983 memberi sinar baharu kepada penghidap kusta apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menemui penawar dikenali sebagai 'Multi Drug Theraphy' (MDT).

Dianggarkan sekitar 300-350 kes baharu kusta didiagnosis setiap tahun di Malaysia. Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru agar setiap anggota kesihatan juga pemimpin masyarakat bersama-sama melibatkan diri dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta terutama kepada komuniti dalam lokaliti endemik yang berisiko tinggi.