Logo

Peningkatan Kes COVID-19: Gelombang ke-4 boleh beri impak kepada negara

KUALA LUMPUR, 14 April - Belum pun reda gelombang ketiga penularan COVID-19; nampaknya situasi pandemik tiada noktahnya apabila Malaysia boleh memasuki gelombang keempat.

Menjadi persoalan mengapa kes harian masih berterusan 4 digit? malah kadar kebolehjangkitan atau
R-Naught juga meningkat.

Adakah kerana pematuhan SOP semakin merosot dek kerana kealpaan kita?

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught mengikut kes seharian di seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06 sejak 11 April lalu.

Malah, penemuan varian baharu di beberapa negara pada hujung tahun lalu, menjadi antara faktor berlakunya ketidaktentuan kes.

Bagi Koordinator IMARET Taskforce COVID-19, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, saringan yang berterusan perlu dilaksanakan di lokasi-lokasi zon merah.

Tinjauan RTM di beberapa lokasi di ibu negara, mendapati masih lagi ramai yang tidak mematuhi SOP.

Ia termasuk tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan berkumpul secara ramai.

Situasi tersebut juga benar-benar membimbangkan.

Ahli akademik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, menjelaskan sekiranya Malaysia menghadapi gelombang yang keempat, ia sudah pastik memberikan implikasi yang lebih buruk kepada negara termasuk ekonomi, kesihatan dan sara hidup rakyat.

Tambahnya, selain kerajaan dan pihak berkuasa, orang ramai juga tidak seharusnya mengambil mudah situasi pandemik ketika ini.

Apa yang penting ialah pematuhan SOP tetap perlu diteruskan dan dijadikan amalan hidup.

Mohan Chinnasamy, Berita RTM.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.