Logo

Tinjauan Program Imunisasi COVID-19: Lindungi diri, lindungi semua

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Langkah Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 memberi keyakinan kepada rakyat untuk tidak menolak vaksinasi.

Detik itu penting sebagai permulaan ke arah misi mencapai imuniti kelompok selari tema 'Lindung Diri, Lindung Semua'.

Sepanjang tinjauan wartawan BeritaRTM, Suhail Mohd Nor, di ibu negara, ramai individu yang ditemui sudah mula mendaftar diri untuk mendapatkan vaksin tersebut melalui aplikasi mySejahtera.

Menurut Siow Lian Lan, sebagai individu pertama menerima vaksin di Malaysia, Perdana Menteri dilihatnya sebagai individu sangat berani dan kuat kerana beliau merupakan bekas pesakit kanser yang kini bebas sepenuhnya daripada penyakit itu.

Bagi Mohd Yusof Hashim pula, program imunisasi ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana ianya telah menjadi satu keperluan asas untuk rakyat kekal sihat dan terhindar daripada pandemik yang melanda dunia.

Selain itu, Nazirul Roselan yang ditemui berkata dia sememangnya teruja kerana telah mendaftar dan menantikan gilirannya untuk dipanggil menerima vaksin.

"Perasaan rasanya excited, sebabnya kita pun tahu vaksin ini pun tiada apa-apa kesan sampingan, sebab satu dunia lain pun dah mula guna vaksin, jadi kita tunggu giliran untuk diri sendiri je lah," ujarnya.

Perkara paling penting, diharap seluruh rakyat untuk terus patuh arahan kerajaan dengan mendaftarkan diri bagi program Imunisasi COVID-19, lindungi diri, lindungi semua.

 

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.