Saturday, 15 May 2021

updated 2:18 PM UTC, May 15, 2021

Eksklusif: Syarikat pembekal guna peranti berteknologi tinggi, keselamatan pengedaran vaksin COVID-19 terjamin

  • Published in Laporan Khas

 

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Pelan khusus perlu disediakan syarikat pembekal vaksin COVID-19 dalam menjamin keselamatan vaksin dan pihak terlibat sepanjang rantaian pengedarannya.

Peringatan itu diberi oleh Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur Keselamatan (CISA) Amerika Syarikat.

Ini sebagai persediaan menghadapi ancaman keselamatan fizikal oleh penjenayah.

Wartawan, Andy Reza Rohadian memperincikan tahap persediaan keselamatan oleh salah satu syarikat pembekal vaksin negara, iaitu Pharmaniaga Berhad dalam Siri Kedua Laporan Khas : Kesiapsagaan Malaysia Dalam Pengurusan Vaksin COVID-19.

(Baca Siri Pertama Laporan Khas: Kesiapsiagaan Malaysia Dalam Pengurusan Vaksin COVID-19 di SINI)

 

Sejak di peringkat ujian klinikal lagi, vaksin COVID-19 paling berharga dan dinantikan di seluruh dunia.

Bagi memutuskan segera rantaian penularan virus maut berkenaan, vaksinnya perlu diperoleh secepat mungkin sebaik dihasilkan.

Situasi mendesak itu menyebabkan banyak negara sudah membuat tempahan awal.

 

Bagi Andy Reza, pada hakikatnya bekalan vaksin yang dihasilkan syarikat pengeluar adalah terhad dan tidak mampu memenuhi permintaan penduduk dunia dalam tempoh singkat.

Situasi ini secara tidak langsung boleh menyebabkan peningkatan risiko ancaman keselamatan di sepanjang rantaian pembekalan vaksin COVID-19.

CISA Amerika Syarikat mendedahkan ancaman fizikal yang mungkin berlaku.

"Kecurian, rampasan besar-besaran dan penembak aktif."

"Kes jenayah tersebut telah dilaporkan di beberapa negara yang lebih awal menerima bekalan vaksin," tambahnya.

 

Khuatir sekiranya insiden sama berlaku di Malaysia, Pharmaniaga Berhad mengambil langkah proaktif mewujudkan pelan tindakan kawalan keselamatan.

Ia melibatkan penggunaan peranti elektronik berteknologi tinggi.

Andy Reza bersua dengan Timbalan Pengarah Urusan syarikat itu, Mohamed Iqbal Abdul Rahman bagi mengupas dengan lebih lanjut berkenaan ini.

"Vaksin COVID-19 adalah umpama emas baharu."

"Sekuriti. Kita akan wujudkan sistem sekuriti di kilang untuk mengelakkan unsur pencerobohan," jelas Mohamed Iqbal.


Vaksin yang dibotolkan di kilang, dibawa ke gudang penyimpanan sebelum diedar ke fasiliti kesihatan.

Penghantarannya menggunakan laluan darat dan udara, menyebabkan kenderaan terlibat berisiko menjadi sasaran penjenayah.

 

Menurut Mohamed Iqbal, sistem sekuriti secara holistik perlu diwujudkan.

"Ini kerana jumlahnya yang besar. Misalnya, jika satu vaksin berharga RM70, jadi untuk satu juta dos bermakna nilainya amat tinggi."

"Kita tidak mahu ada unsur pengkhianatan berlaku, jadi perlu ada kawalan daripada kilang hingga ke gudang, kemudian daripada gudang hingga ke hospital."

 

Sistem pemantauan berasaskan Internet Kebendaan (IoT) diletakkan pada setiap pengangkutan bagi mengesan pergerakannya sepanjang proses pengedaran.

Ia juga bagi memastikan suhu vaksin berada pada julat yang ditetapkan.

Maklumat 'masa sebenar' akan disalur terus kepada pengilang dan penerima bekalan vaksin.

 

Pengarah Logistik dan Pengedaran Pharmaniaga Berhad, Abdul Malik Mohamed, menjamin kecekapan proses penghantaran syarikat itu.

"Berdasarkan analisa jadual penghantaran, kita boleh hantar dengan cepat dan tepat."

"Maklumat dapat disampaikan kepada pelanggan sebelum ketibaan lori agar persediaan di pihak fasiliti kesihatan dapat dilakukan lebih awal."

 

Lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

Pharmaniaga Berhad akan membekalkan 14 juta dos vaksin CoronaVac COVID-19 buatan negara China kepada Malaysia.

Dengan pengalaman 26 tahun mengendalikan ubat-ubatan berdasarkan ketetapan Amalan Pengedaran Baik (AEB), pengurusan dan pengedaran vaksin di negara ini sewajarnya lancar dan teratur.