Saturday, 15 May 2021

updated 2:18 PM UTC, May 15, 2021

Vaksin COVID-19: Harapan baharu depani pandemik

  • Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Penantian rakyat Malaysia berakhir hari ini dengan penghantaran pertama bekalan vaksin yang membawa sinar baharu untuk seluruh rakyat, dalam peperangan melawan pandemik COVID-19.

Realitinya, pelaksanaan program imunisasi besar-besaran melibatkan puluhan juta individu dalam tempoh singkat, bukan satu tugas mudah.

Kejayaannya menuntut komitmen padu oleh pelbagai pihak dan disokong pelan pengurusan teliti dan komprehensif. 

 

Wartawan Andy Reza Rohadian menyingkap persiapan pelaksanaan ini dalam Siri Pertama Laporan Khas: Kesiapsiagaan Malaysia Dalam Pengurusan Vaksin COVID-19.

 

Sebanyak satu juta dos vaksin keluaran Pfizer-BioNTech yang ditempah kerajaan Malaysia diterbangkan dari Belgium.

Hadir dalam bekas sejuk beku yang dipenuhi ais kering, ia sejajar ketetapan penyimpanan vaksin pada suhu ultra sejuk, iaitu negatif 75 darjah celsius.

Tujuannya bagi menjamin kualiti dan keselamatan, selain tahap keberkesanan vaksin pada kadar 95 peratus itu, kekal terpelihara.


Infrastruktur penyimpanan dan pengagihannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah disediakan sebaik mungkin.

Sehingga akhir Januari, sejumlah 13 unit Peti Sejuk Ultra Rendah (ULTF) dan 43 unit Peti Sejuk Muatan Atas (TLD) telah diterima fasiliti kesihatan KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi para petugas kesihatan, mereka turut dipersiap bagi mengendalikan produk vaksin sepanjang proses imunisasi.

Sejak awal Februari, program latihan telah bermula secara berperingkat.


Fasa pertama program imunisasi daripada tiga fasa keseluruhannya, melibatkan setengah juta petugas barisan hadapan.

Setiap seorang perlu menerima dua suntikan, dengan dos kedua diberi pada hari ke-28.

Justeru, penilaian risiko perlu mengambil kira faktor demografi dan kewangan penerima vaksin, bagi memastikan mereka dapat kembali mendapatkan dos kedua.

Ia sekaligus memberi cabaran besar.

Faktor geografi perlu dikaji khususnya di lokasi berisiko, selain kawasan-kawasan pedalaman yang sukar diakses.


Untuk itu, sejak Januari, KKM telah melaksana beberapa latihan awal pengurusan logistik.

Latihan pertama melibatkan pengedaran vaksin ke Klinik Kesihatan Belaga, Sarawak.

Ia terletak 178 kilometer atau empat jam perjalanan darat dari bandar terdekat iaitu Bintulu.

Hasilnya, bekas sejuk beku berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara negatif 90 darjah celsius hingga 60 darjah celsius.

Impak penularan COVID-19 terhadap aspek kesihatan, sosial dan ekonomi hanya akan dapat dilihat setelah program imunisasi besar-besaran dilakukan.

Ini bermakna, kejayaan bebas daripada pandemik lebih menjurus kepada persoalan; bilakah orang terakhir akan divaksinasi, berbanding persoalan bilakah orang pertama akan menerimanya. 

Selain kecekapan logistik, perkara itu juga berkait rapat dengan aspek 'cukup atau tidak' jumlah bekalan vaksin.

 

Setakat ini, kerajaan telah membuat perolehan 26.5 juta dos daripada enam pengeluar.

Jumlah itu boleh menampung keperluan 82.8 peratus rakyat Malaysia, melebihi 70 peratus sasaran awal.

Rakyat negara ini berjumlah 32 juta orang ketika ini, tujuh juta daripadanya berusia 18 tahun ke bawah dan ini bermakna baki 25 juta individu perlu divaksinasi.

Secara teorinya, dengan bekalan 26.5 juta dos vaksin, 100 peratus rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mampu terima suntikan vaksin.

 

Bagi Andy Reza, persediaan rapi sudah dilakukan. Cabarannya adalah aspek pelaksanaan.

Ia perlu ditangani dengan baik agar vaksin tidak rosak, yang boleh membawa kerugian dari segi kewangan dan tenaga manusia.

Seluruh rakyat Malaysia perlu bekerjasama menggembleng tenaga dan sumber yang ada bagi menjayakan program imunisasi ini.