Sunday, 29 November 2020

updated 2:27 PM UTC, Nov 29, 2020

Guru Labuan sambut baik pembukaan semula tadika

  • Published in Laporan Khas


LABUAN, 30 Jun- 
Kerajaan mengumumkan pembukaan semula operasi institusi pra-sekolah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) perpaduan esok.

Hasil tinjauan pembukaan tadika di Labuan oleh wartawan RTM, Harjay Wandy Jack, mendapati, kerja-kerja sanitasi giat dijalankan selaras prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menyasarkan kontak minimum, Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Nurul Iman Pekan, membuat pembahagian kelas berdasarkan kepada jumlah murid seramai 13 ke 14 orang bagi setiap kelas, selain pembersihan berkala yang dilakukan seminggu lebih awal.

Menurut Ketua Guru Tadika MAIWP Nurul Iman Pekan, Mahsuri Mohd Tahir, perkara ini mendapat maklumbalas yang positif daripada ibu bapa.

"Kami telah sampaikan perkara ini kepada ibu bapa dan hampir kesemuanya bersetuju untuk menghantar anak mereka mengikut SOP yang ditetapkan."

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan, Gilbert Julian berkata, walaupun berdasarkan tinjauan awal pihaknya lebih ramai tidak bersedia untuk menghantar anak-anak ke sekolah, namun pihaknya proaktif mengadakan taklimat berkenaan pelaksanaan SOP kepada ibu bapa dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan.

Tambahnya, reaksi positif ibu bapa bukti keyakinan terhadap aplikasi keselamatan dan kebersihan yang diterap pihaknya di Tabika dan Taska KEMAS Labuan.

"Pada awalnya, ibu bapa berkongsi kerisauan terhadap aspek keselamatan namun setelah taklimat diberikan, akhirnya mereka bersedia untuk menghantar anak-anak mereka."

Apa yang pasti, tidak ada pengecualian terhadap mana-mana pihak dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini.

Semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaannya bagi menewaskan wabak COVID-19.