Tuesday, May 26, 2020

updated 12:37 PM UTC, May 26, 2020

Isu banjir kilat di Sungai Bidut, Sibu berjaya diselesai, legakan pekebun

  • Published in Laporan Khas

SIBU, 22 Feb - Kawasan Sungai Bidut merupakan salah satu lokasi pertanian sayur-sayuran utama di Sibu, Sarawak.

Namun sejak bertahun lamanya pekebun kecil di kawasan berkenaan dihantui dengan masalah banjir kilat yang pernah memusnahkan hasil pertanian mereka.

Kini, isu banjir kilat itu akhirnya berjaya diselesaikan.

Masalah banjir di kawasan Sungai Bidut dikatakan berpunca daripada sebuah jambatan kayu lama yang terletak di Jalan Hock Lee.

Jambatan kayu itu dibina dengan puluhan tiang kayu untuk menyokong binaannya.

Bagaimanapun, tiang-tiang itu menghalang kelancaran air yang mengalir dari tali air ke Sungai Batang Rajang.

Keadaan itu menyebabkan air bertakung dan melimpah ke tebing sungai dan menenggelamkan kebun-kebun sayur di sekitarnya.

Mendengar keluhan para pekebun ini, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew bertindak segera meluluskan peruntukan RM130 ribu untuk menggantikan jambatan kayu itu dengan sebuah jambatan struktur besi baharu.

Jambatan baharu ini dibina awal tahun ini dan mula dibuka kepada orang awam sebelum Tahun Baharu Cina lalu.

Siapnya jambatan ini bermakna lebih 100 pekebun sayur di kawasan terjejas sebelum ini boleh menarik nafas lega.

Selain pembinaan jambatan, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak turut bekerjasama melakukan kerja-kerja pembersihan anak sungai ini secara berkala.

Pembersihan rumpai dan lalang juga dapat memastikan kelancaran air keluar dari anak sungai ini.