Pukat hantu risiko ancaman biodiversiti marin
LABUAN, 21 Mac- Walaupun sudah berkali-kali dibersihkan, namun kewujudan pukat hantu atau 'ghost net’ boleh mendatangkan bahaya kepada hidupan marin selain kepada manusia.
Pukat Hantu merujuk kepada pukat terbiar yang tersangkut dan ditinggalkan begitu sahaja oleh pemilik.
Tindakan itu bukan sahaja mengancam habitat dan hidupan marin, malah boleh mengakibatkan kemalangan kepada manusia ketika melakukan aktiviti di laut seperti aktiviti selaman.
Bertindak proaktif, Jabatan Perikanan Labuan menganjurkan pemantauan dan pembersihan berkala agar ekosistem biodiversiti marin sentiasa terpelihara.
"Kita tumpukan kepada kawasan taman perairan taman laut yang radiusnya satu batu nautika dari tiga pulau ini iaitu Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil kemudian Pulau Kuraman. Kita juga menyasarkan tapak-tapak selaman yang berdekatan dengan taman laut ini," kata Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili.
Fokus siri pertama 2023 ialah memastikan kawasan terumbu dan peranti pemuliharaan di dasar laut seperti tukun tiruan bebas daripada ancaman pukat hantu.
Aktiviti pembersihan turut disertai sukarelawan dan keluarga maritim wilayah ini.
(Bertindak proaktif, Jabatan Perikanan Labuan menganjurkan pemantauan dan pembersihan
berkala agar ekosistem biodiversiti marin sentiasa terpelihara)
"Untuk kali ni kita berbesar hati untuk menerima penyertaan 50 orang kakitangan Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan sendiri, daripada bomba, daripada Labuan Dive Club, pengusaha-pengusaha resort, Labuan Rusukan Besar Resort. Sukarelawan-sukarelawan dan rakan media juga turut sama daripada RTM dan Bernama turut sama kita dalam program pada tahun ni," katanya
"Cabaran lebih kepada arus air dan cuaca. Kalau cuaca tidak bagus memang susah sikit. Pernah hari tu kalau dapat pukat yang besar memang kena perlukan ramai orang untuk buka," tambah beliau.
Kesedaran masyarakat terhadap bahaya kehadiran pukat hantu perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengelak berlakunya sebarang kemalangan semasa aktiviti selaman.
Pukat hantu boleh mengundang risiko terjadinva "pembunuhan bersiri" terhadap hidupan marin terutama ikan dan spesies lain seperti penyu yang ada di kawasan berhampiran pukat itu ditinggalkan.
Laporan khas di sediakan Harjay Jack.
(Faizal berkata Pukat hantu risiko ancaman biodiversiti marin)
- Written by Media Baharu
- Category: Laporan Khas
- Hits: 46