Sunday, 22 May 2022

Seludup rokok: 4.2 juta batang rokok putih dirampas

RANTAU PANJANG, 19 Mei- Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan penyeludupan 4.2 juta batang rokok putih bernilai lebih RM3.2 juta di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Rampasan dibuat dalam serbuan ke atas sebuah rumah kedai tidak bernombor di Telaga Nenas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 429 kotak rokok pelbagai jenama disyaki diseludup dari negara jiran.

"Pasaran ini untuk Kelantan dan juga negeri2 lain di Malaysia kerana rokok ini agak popular. Pertama dua jenis ini iaitu Saat dan John JDB tetapi kita melihat ada jenama baru Zon King jadi kita percaya mungkin jenama ini mula diperkenalkan dan tidak mustahil satu jenama baru cuba dibawa masuk ke Malaysia," katanya.

Muhammad Zaki memberitahu pemberita di Markas Tektikal Lubok Stol, Rantau Panjang.


(Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

Kesemua barang kes diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.

Rampasan berkenaan adalah yang terbesar setakat ini, hasil kawalan ketat pihaknya yang mewujudkan ‘tiga lapisan’ iaitu kawalan dan rondaan PGA di sempadan, Sekatan Jalan Raya di daerah serta peringkat kontinjen.


(Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) menunjukkan hasil rampasan)

Siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti pemilik dan penyewa rumah kedai tersebut serta dalang di sebalik penyeludupan rokok tidak bercukai.

Beliau tidak menolak kemungkinan, sebahagian daripada rokok seludup terbabit dibawa keluar sebelum serbuan dilakukan pihaknya.

  • Written by Media Baharu
  • Category: Jenayah
  • Hits: 214