MAQIS rampas produk haiwan cuba dibawa masuk menerusi KLIA2
- Written by Media Baharu
- Published in Jenayah

(Antara produk haiwan tanpa lesen sah yang dirampas MAQIS di KLIA2 / MAQIS)
PUTRAJAYA, 18 Mac - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk haiwan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Rabu lepas.
Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata produk seberat 20 kilogram dianggarkan bernilai RM200 itu cuba dibawa masuk oleh seorang lelaki warga China.
Beliau berkata produk itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas kastam sekitar pukul 6.30 pagi.
(Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim)
"Konsainan itu terdiri daripada 8kg itik dan 12kg sosej lembu mentah yang diletakkan di dalam sebuah bagasi yang berisiko bolehmembawa masuk penyakit ke dalam negara.
"Produk haiwan itu telah disita oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai permit import serta sijil kesihatan dan sijil halal yang sah," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Mohd Sobri berkata, perbuatan mengimport produk haiwan tanpa permit s ah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.