Wednesday, 1 February 2023

 

Jururawat, suri rumah didakwa perdagang bayi

  • Published in Jenayah

IPOH, 25 Januari- Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan bayi, tiga tahun lalu.

Noor Azlina Mohd Nasir, 41 tahun yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Alor Setar dan D. Murugamal, 52 tahun seorang suri rumah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norashima Khalid selepas pertuduhan dibacakan secara serentak.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama mencapai niat memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta dalam daerah Manjung kira-kira pukul 12.00 tengah hari pada 18 Jun 2020.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang telah pun berkahwin didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

(Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan
memperdagangkan seorang bayi perempuan pada 2020 / FOTO BERNAMA)

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 seorang.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Mohd Firdaus Mohd Farouk memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan Noor Azlina mempunyai lima anak manakala Murugamal menghidap sakit jantung dan kencing manis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.