Wednesday, 28 September 2022

Premis haram diserbu, lima tong petrol dan diesel dirampas

  • Published in Jenayah

PADANG BESAR, 19 Ogos- Sebuah premis menyimpan petrol dan diesel secara haram di Kampung Kolam telah diserbu oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Tugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bersama pasukan KPDNHEP Perlis.

Hasil serbuan pada jam 1.30 petang semalam itu menemui lima tong berisi minyak diesel dan petrol.

Menurut Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Shokri Abdullah, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tong berkenaan mengandungi 480 liter petrol dan 350 liter diesel.

Turut ditemui dua unit pam menyedut minyak dan empat unit hos getah dengan nilai keseluruhan bernilai RM3,066.


(Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tong berkenaan mengandungi 480 liter petrol dan 350 liter diesel)

Siasatan mendapati, premis tersebut iaitu sebuah rumah telah beroperasi sejak sebulan lalu dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Siasatan lanjut masih dijalankan pihak KPDNHEP berkaitan pemilik rumah dan pihak yang yang terlibat menyimpan minyak diesel serta petrol terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pihak polis turut mengingatkan mana-mana individu yang terlibat dalam penyimpanan dan menyeludup apa-apa barang bersubsidi secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.