Wednesday, 28 September 2022

Dua beradik maut akibat pergaduhan

  • Published in Jenayah

 IPOH, 18 Ogos - Seorang pemandu teksi dipercayai membunuh adiknya sebelum bertindak menggantung diri dalam kejadian di Jalan Mohamed Naseh, Housing Trust, di sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, panggilan diterima berhubung kejadian terbabit pada pukul 10.28 pagi.

Berdasarkan keterangan saksi, berlaku pergaduhan membabitkan dua beradik itu sebelum kejadian berlaku.

"Pada masa pergaduhan itu, isteri mangsa ada bersama dan kita lihat ada kesan luka ditangan kiri, tangan kanan ibu jari isteri mangsa. Jadi kita lihat bahawa mungkin yang isteri ini cuba mendamaikan pergaduhan.

"Dan apabila kita lihat di sana, mangsa seorang lelaki Cina berada di ruang dapur, berlumuran dengan darah, katanya dikatakan ditikamlah dengan menggunakan senjata tajam dan seorang lagi lelaki Cina yang berada di luar kawasan rumah didapati lehernya digantung dan mati ditempat berkenaan," kata Azizi kepada pemberita di sini.

Polis turut menjumpai golok kecil yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

(Mayat kedua-dua beradik dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh
untuk proses bedah siasat)

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.