Wednesday, 28 September 2022

15 individu ditahan terlibat penyelewengan diesel sekitar Selangor

  • Published in Jenayah

SHAH ALAM, 12 Ogos- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 15 individu termasuk dua warga asing di beberapa kawasan di sekitar Selangor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada 9 dan 11 Ogos lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata kesemua mereka ditahan di Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong dan kes tersebut diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran nilai rampasan melebihi RM500,000 antaranya melibatkan sembilan buah lori yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan dan 33,000 liter dipercayai minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi / FOTO FB kpdnkk.selangor.official

Beliau berkata bekalan diesel dipercayai diperoleh dari stesen-stesen minyak yang berdekatan dan KPDNHEP Selangor akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengambil tindakan ke atas mana-mana stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket yang terlibat.

Mohd Khairi berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesan mana-mana pihak lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan tersebut.