Sunday, 2 October 2022

Pernah dikenakan tindakan, empat premis di Manjung tetap teruskan perjudian

  • Published in Jenayah

MANJUNG, 12 Ogos- Meskipun pernah dikenakan tindakan sebelum ini, empat premis di sekitar Manjung tetap aktif menjalankan kegiatan perjudian.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, pihaknya dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis terlibat.

Jelas beliau, tindakan diambil di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Modus operandinya lebih kepada dia berselindung, macam kedai runcit ini, dia menjual barangan keperluan asas seperti beras dan sebagainya tetapi di samping itu dia menjual loteri haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

(ACP Nor Omar Sappi, Ketua Polis Daerah Manjung)

Tambah beliau, sejak Januari lalu, sebanyak 228 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah tersebut 140 kes telah didakwa, manakala 58 masih dalam siasatan.