Wednesday, 28 September 2022

Visa Furada: Pemilik agensi pelancongan mengaku tidak bersalah

  • Published in Jenayah

(Agus Rizal Mat Ali diiringi anggota polis di perkarangan mahkamah hari ini)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengiklankan tawaran pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji secara sah dari Lembaga Tabung Haji pada Mei lalu.

Tertuduh, Agus Rizal Mat Ali, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H dengan memuatnaik di media sosial Facebook milik Syarikat UC Travel.

Dengan iklan tersebut mangsa jemaah haji telah membuat transaksi dan memilih syarikat UC Travel sebagai pengelola perjalanan haji ke Tanah Suci sedangkan syarikat UC Travel tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah dari Lembaga Tabung Haji.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Cawangan UC Travel Sdn Bhd, No 46-1, Block G, Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota, di sini, 9 Mei lalu, mengikut Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman dendan maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak dan Hanis Anisha, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En.

Hakim membenarkan Agus diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

Setakat 31 Julai lalu, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata laporan yang diterima setakat tarikh itu melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

Pada 7 Julai lalu, media melaporkan lebih 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan tiga syarikat agensi pelancongan swasta.

Berita berkaitan
Visa furada: 23 kertas siasatan dibuka, kerugian cecah RM5 juta
Haji furada: “Bukan tipu kami, tapi mereka tipu Allah” - Mangsa
TH terus beri kesedaran risiko tawaran visa furada syarikat tidak berlesen