Friday, 19 August 2022

ATM tahan 28 PATI di Kelantan dan Kedah

  • Published in Jenayah

BUKIT KAYU HITAM, 25 Jun- Seramai 28 warga asing tanpa izin warganegara Myanmar ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menceroboh di dua lokasi berasingan di Kelantan dan Kedah.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian pertama, pasukan Briged Kelapan Infantri Malaysia mengesan dan menahan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Nibong, Tanah Merah.

Kira-kira dua jam kemudian, pasukan Briged Keenam Infantri Malaysia pula mengesan dan menahan sekumpulan individu di kawasan kebun getah berhampiran jalan raya Changlun-Sintok.


(28 PATI warganegara Myanmar yang ditahan oleh ATM
kerana menceroboh di dua lokasi berasingan di Kelantan dan Kedah)

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan di Tanah Merah mendapati 9 warganegara Myanmar berusia antara 17 hingga 35 tahun terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Manakala, di lokasi kedua, hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 orang warganegara Myanmar berusia antara 19 hingga 44 tahun, terdiri daripada 15 lelaki dan 4 perempuan, juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

ATM turut merampas 18 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan lebih RM13,000 dalam kedua-dua serbuan tersebut.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Nibong dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Pasukan operasi sentiasa mengawal sempadan negara daripada dicerobohi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan.