Monday, 27 June 2022

Tiket penerbangan tidak wujud,  pemilik syarikat agensi pelancongan didenda RM3,000

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 22 Jun - Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang wanita warganegara Korea Selatan atas kesalahan menipu urusniaga pembelian tiket penerbangan dalam talian.

Tertuduh, Lee Chorong, 38, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed Saim.

Berdasarkan pertuduhan, Lee Chorong bersama suspek yang masih bebas telah memperdayakan seorang wanita berusia 29 tahun untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Korea sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah lebih RM10,000 kepadanya.


(Anggota polis membawa wanita Korea Selatan, Lee Chorong ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan penipuan tiket penerbangan ke Korea)

Bagaimanapun selepas pembayaran, mangsa gagal mendapatkan tiket penerbangan tersebut .

Perbuatan itu dilakukan di sebuah Kondominium di Bukit Jalil pada 16 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan wanita Korea itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.


Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius.

Peguam Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan ini merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya selain dia mempunyai dua anak berumur antara setahun dan tiga tahun.