Sunday, 26 June 2022

Seorang lelaki tempatan ditahan bantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki

  • Published in Jenayah

MIRI, 22 Mei- Seorang lelaki tempatan ditahan berhubung penemuan mayat lelaki di lorong kedai Pusat Komersial Boulevard Miri, Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, suspek berumur lingkungan 30-an itu ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Menerusi kenyataan media, ACP Alexson mendedahkan tangkapan terhadap suspek itu dibuat ekoran suspek merupakan individu terakhir bersama mangsa terbabit sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.

Dedah beliau, kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala yang dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

(Foto fail)

Susulan itu, kes ini telah diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi ASP Dorairajah Vanaltham di talian 085-433730.