Sunday, 26 June 2022

Gagal patuh arahan alasan 'sifu' wushu serang gangguan seksual

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Seorang jurulatih wushu ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, kata Ketua Polis Kajang ACP Mohd Zaid Hassan.

Katanya, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu melakukan gangguan seksual atas alasan mangsa gagal mematuhi arahan suspek.

"Mangsa juga telah diugut oleh suspek jika memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapanya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun mangsa bertindak menceritakan kejadian yang berlaku kepada ayahnya dan membawa mangsa ke balai polis serta mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

"Oleh itu, suspek ditahan di sekitar Taman Kajang Mewah kira-kira 7.50 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Penahanan suspek berdasarkan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa berusia 43 tahun memaklumkan anak perempuannya iaitu pelatih wushu mengalami gangguan seksual dari jurulatihnya.

"Kejadian berlaku pada 11 Feb sehingga 19 Feb lepas sekitar pukul 3 hingga 4 petang dan 12 tengah malam hingga 1 pagi, ketika mangsa berada di rumah jurulatih wushu tersebut.

Tambahnya, suspek direman sehingga 23 Mei ini.

Mohd Zaid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan disebat.

"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908," katanya.