Sunday, 26 June 2022

Maritim tahan dua kapal bawa muatan kayu padauk dari Myanmar

  • Published in Jenayah

GEORGE TOWN, 21 Mei - Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan dua kapal ‘barter trade’ (perdagangan tukar barang) dari Myanmar kerana gagal mempamerkan dokumen kapal dan insurans ketika pemeriksaan dijalankan di Perairan Pulau Pinang, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kedua-dua kapal berdaftar di Yangon itu ditahan pada 6.50 petang dan 6.55 petang di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Pelabuhan Pulau Pinang.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu padauk dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang.

"Kapal THITDI AUNG 3 dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda manakala kapal DANA THIDI 9 dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 22 hingga 64 tahun itu merupakan warga Myanmar dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


(Kedua-dua kapal tersebut membawa muatan kayu paduak dari Yangon, Myanmar ke Pelabuhan Pulau Pinang/FOTO Maritim)

Katanya Kedua-dua nakhoda bersama dua kru kapal itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Tambahnya, Maritim Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.

Orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.