Sunday, 26 June 2022

Polis Sentul tumpas sindiket edar dadah 'perasa vape'

  • Published in Jenayah

(Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan
barang rampasan ketika sidang media di IPD Sentul/FOTO Polis Sentul)

KUALA LUMPUR, 19 Mei - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang selepas penahanan lima individu dalam tiga serbuan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, berjaya menahan lelaki, 23, kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sebuah kondominium di Jalan Kuching di sini.

"Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor, yang dipercayai dijadikan sebagai pusat memproses dadah.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 14 hingga 28 tahun.

"Remaja perempuan itu dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki berusia 25 tahun," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

(Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul berjaya merampas dadah perasa vape berjumlah RM210, 570/FOTO Polis Sentul)

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 34 tahun di kondominium di Jalan Cemur, pada 11.30 malam tadi.

"Tangkapan itu dibuat selepas pihak polis mendapat maklumat daripada semua suspek yang ditahan berkaitan rakan mereka yang menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar kawasan Dang Wangi.

"Secara keseluruhannya, kami berjaya merampas sebanyak 4,210 mililiter (ML) dadah sintetik jenis MDMA dan air ketum sebanyak 7,000 ML yang dianggarkan berjumlah RM210,570," katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 1,121 orang pengguna dadah.

Menurutnya lagi, sindiket dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan menjual dadah berkenaan di dalam botol perasa 'vape' bersaiz 10 milliliter di Lembah Klang dengan harga RM150 sebotol.

"Siasatan lanjut dalam kes ini masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang terbabit dan dari mana sumber bekalan diperolehi.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.