Sunday, 26 June 2022

Lelaki gagal pecah mesin ATM

  • Published in Jenayah

TANAH MERAH, 18 Mei - Cubaan penyamun melarikan wang dalam sebuah mesin juruwang automatik (ATM) awal pagi tadi tidak berjaya.

Dalam kejadian pukul 1.59 pagi itu, seorang lelaki gagal pecahkan mesin ATM apabila wang tunai masih berada dalam mesin berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman kejadian itu disedari oleh kakitangan bank terbabit pada pukul 7.16 pagi tadi, yang terkejut apabila salah satu daripada tiga mesin ATM rosak serta terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar premis itu mendapati kelihatan seorang lelaki berjalan kaki dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang yang menempatkan mesin ATM pukul 1.59 pagi.

Lelaki berkenaan juga bertindak menutup CCTV yang terdapat di ruang mesin ATM dan pada mesin ATM dengan menggunakan pita pelekat.

(FOTO HIASAN)

Suspek juga melekatkan kertas minyak pada pintu utama ruang mesin ATM bagi mengelakkan perbuatannya dilihat.

Hasil rakaman CCTV pada bahagian luar premis mendapati suspek berusaha lebih satu jam untuk melarikan wang tunai di mesin ATM tersebut sebaik memasuki bangunan pada pukul 1.59 sebelum keluar semula pada pukul 3.15 pagi dengan menggalas beg.

Jelas Wan Zulfikri hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat salah satu mesin ATM telah dipotong pintu menggunakan mesin pencanai.

Bagaimanapun, pintu mesin berkenaan gagal dibuka suspek dan Kes disiasat dibawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.