Saturday, 25 June 2022

Dera kanak-kanak tiga tahun, Polis cari penjaga mangsa

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 15 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah tersebut dan melihat terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan kanak-kanak itu.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Farouk berkata pihaknya kini sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lepas kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan,”katanya.

Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan.

 


(Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak)