Sunday, 26 June 2022

Polis perjelas isu tular lelaki tidak puas hati ditahan

  • Published in Jenayah

JOHOR BAHRU, 15 Mei - Pegawai polis boleh menghentikan dan menahan mana-mana orang yang disyaki untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata Seksyen 24(1)(a) Akta Polis 1967 dengan jelas menyatakan perkara itu.

“Selain itu, Seksyen 7(1) Akta Pendaftaran Negara 1959 menyatakan bahawa mana-mana pegawai polis semasa menjalankan tugas diberi kuasa secara bertulis boleh memeriksa kad pengenalan mana-mana orang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular seorang lelaki yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis melakukan pemeriksaan.

Rupiah berkata anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah telah menahan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Hyundai Elentra pada 5.50 petang semalam dan individu itu dibawa ke balai untuk pemeriksaan lanjut namun dibebaskan sejurus selesai pemeriksaan.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar berhati-hati dan berhemah ketika memberi komen atau menularkan cerita tanpa kesahihan di media sosial.

 


(Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid)