Thursday, 26 May 2022

Penolong penguat kuasa KPDNHEP minta rasuah RM3,000, direman empat hari

  • Published in Jenayah

GEORGETOWN, 14 Mei- Seorang Penolong penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang direman selama empat hari di Mahkamah Majistret George Town, hari ini selepas dipercayai meminta rasuah bernilai RM3,000.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 17 Mei itu dikeluarkan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Jayaraj membuat permohonan di Mahkamah.

Suspek yang berusia 48 tahun itu tiba di mahkamah pada jam 10. 30 pagi berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Timur Laut di George Town ditahan petang semalam di Bayan Baru ketika menerima wang berkenaan daripada pengadu.

Wang tersebut dipercayai sebagai balasan untuk menyelesaikan kes yang berlaku pada tahun lalu serta tidak diambil tindakan ke atas pengadu atas kesalahan memiliki gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi had kuantiti dibenarkan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan itu sejak tahun lalu dan pengadu berkenaan membuat laporan kepada SPRM awal bulan ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek ditidak diwakili peguam.


(Suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Timur Laut di George Town ditahan petang semalam di Bayan Baru ketika menerima wang berkenaan daripada pengadu)