Thursday, 26 May 2022

Gadis remaja hadapi pertuduhan membunuh anaknya yang baru lahir dibenarkan ikat jamin

  • Published in Jenayah

PUTRAJAYA, 13 Mei - Seorang remaja perempuan yang menghadapi pertuduhan membunuh anak lelakinya yang baru lahir dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan hari ini sementara menunggu perbicaraan selesai.

Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah, membenarkan gadis itu diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan seorang penjamin tempatan.

Hakim berkata ikat jamin itu hanya akan berkuat kuasa selepas gadis itu dibebaskan daripada penilaian psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.

Beliau berkata gadis berusia 15 tahun itu dan penjaminnya mesti melaporkan diri di balai polis Chukai di Kemaman, Terengganu sebulan sekali sebelum atau pada hari ke-7 setiap bulan sehingga kesnya diselesaikan.

Tambah beliau, remaja itu dan penjaminnya mesti hadir ke mahkamah, melainkan dikecualikan oleh mahkamah dan dia tidak boleh dibawa keluar negara tanpa kebenaran daripada mahkamah.

Jika terdapat permohonan supaya remaja itu dibawa keluar negara, permohonan itu mesti dibuat di mahkamah tempat pertuduhan difailkan.

Sebelum perbicaraan permohonan ikat jamin gadis itu bermula, hakim membuat perintah supaya identiti gadis itu tidak didedahkan.

Gadis itu didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Feb tahun ini atas pertuduhan membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi di Kemaman, Terengganu, antara 7 pagi dan 9 pagi pada 8 Feb.

Dia bagaimanapun, ditolak ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dan permohonannya untuk dirujuk untuk penilaian kesihatan mental juga ditolak oleh mahkamah majistret.

Remaja itu kemudiannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Terengganu untuk menyemak keputusan mahkamah majistret yang tidak membenarkan permohonannya untuk dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tidak berjaya dan dia kekal dalam tahanan.

Mahkamah Tinggi, pada 8 Mac lalu bagaimanapun membenarkan sebahagian daripada permohonan semakan gadis itu dengan memerintahkan dia dirujuk untuk penilaian psikiatri.

Dia kemudian memfailkan permohonan baharu untuk jaminan di Mahkamah Rayuan.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dihukum mati di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mungkin dipenjarakan selama tempoh seperti yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, bergantung di mana kesalahan itu berlaku.-BERNAMA


(Gadis berusia 15 tahun itu dituduh membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi di Kemaman, Terengganu, antara 7 pagi dan 9 pagi pada 8 Februari lalu)