Tuesday, 29 November 2022

Tokan ketum tidak serik, sekali lagi ditahan polis di Pendang

  • Published in Jenayah

PENDANG, 4 April - Tidak serik walaupun pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama, seorang tokan ketum yang aktif menjual air daun ketum di sekitar Pendang sekali lagi dicekup pihak polis.

Suspek berusia 30-an itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Banggol Kambing, di sini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah dalam kenyataan kepada Berita RTM berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Pendang pada pukul 12.30 pagi.

Hasil serbuan, pihaknya merampas dua bungkusan plastik lutsinar yang berisi daun-daun hijau disyaki daun ketum seberat tiga kilogram, 20 bungkusan plastik lutsinar yang berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum, peralatan untuk memproses air ketum serta 3 bungkusan plastik lutsinar yang disyaki digunakan untuk membungkus air ketum.

Turut dirampas, wang tunai berjumlah lebih RM7,000 yang disyaki wang hasil daripada penjualan air ketum.


(Suspek ketika dicekup Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Pendang)

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut memproses air ketum dibelakang rumahnya dan menjual kepada pelanggan tetap di kampungnya pada harga RM5 sebungkus.

Lelaki tersebut tidak pernah serik walaupun sebelum ini pernah ditangkap beberapa kali atas kesalahan yang sama.

Suspek akan disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jelas Arriz Sham, pihaknya amat berterima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat berkaitan jenayah pengedaran air ketum di kawasan tersebut.

Beliau berharap orang ramai dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan penjualan air ketum dan pengedaran dadah kepada pihak BSJND IPD Pendang atau mana-mana balai polis yang berhampiran.