Sunday, 22 May 2022

SPRM temui petunjuk baharu penyelewengan projek 6 kapal LCS

  • Published in Jenayah

 

 

PUTRAJAYA, 25 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemui petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Bousted Naval Shipyard.

Menurut sumber, berdasarkan petunjuk baharu tersebut, SPRM telah menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut.

"Kedua-dua individu itu berusia 79 dan 49 tahun ditahan pada petang Isnin di Ibu Pejabat SPRM ketika memberikan keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

"Seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut," katanya.

Katanya, siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.