Tuesday, 17 May 2022

Op Tapis Khas: 367 sarang penagih diserbu, dadah bernilai lebih RM3.5 juta dirampas

  • Published in Jenayah

 


KUALA LUMPUR, 25 Januari-Pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih 3.5 juta ringgit dirampas menerusi Op Tapis Khas
dalam operasi khas berkenaan yang dijalankan selama 3 hari di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seramai 5,200 individu termasuk 129 warga asing ditahan dalam operasi berkenaan, antara Jumaat hingga Ahad lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,987 yang ditahan adalah lelaki dan 213 perempuan berusia antara 13 hingga 60 tahun

"Operasi khas selama tiga hari ia dijalankan melibatkan 2,696 pegawai dan anggota JSJN di 367 sarang penagihan dadah yang membawa kepada penahanan berkenaan, " katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini.

Ayob Khan berkata, pihaknya merampas bahan terlarang itu seberat 212.6 kilogram (kg) dan 1,199.2 liter termasuk heroin seberat lima kg, syabu (30.2 kg), ketamin (4.56 kg), ganja (53.42 kg) serta air ketum (974.74 liter).

Turut disita, satu pistol jenis revolver .38, tujuh peluru, dua senapang buatan sendiri, wang tunai berjumlah RM333,766, barang kemas (RM41,540), 34 kenderaan (RM1.58 juta) dan 69 motosikal (RM391,700).

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM5.98 juta.

"Untuk perincian, kita periksa 5,466 orang dan daripada itu, kita tahan 5,200 individu. Tahanan termasuk 942 tokan, 2,893 penagih dan 201 individu dikehendaki kesalahan dadah.

"Kalau pecahan umur, saya mahu maklumkan kita tahan 76 remaja berusia 13 hingga 18 tahun. Dua tahanan berusia 13 tahun adalah penagih, manakala mereka yang berusia 14 hingga 18 tahun ada yang turut menjadi tokan.

"Jumlah yang tidak bersekolah seramai 68 remaja dan baki bersekolah. Daripada jumlah sarang dadah pula, kita serbu paling banyak di Selangor dengan 69 lokasi disusuli 57 tempat penagihan di Sabah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan Op Tapis Khas sekurang-kurangnya setiap bulan selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

"Kita mahu konsisten dalam membuat operasi, tidak mahu tiga, empat bulan sekali. Sarang penagihan dadah ini juga kadang-kadang berpindah sebab itu kita perlu membuat operasi secara berterusan.

"Pada masa ini, Op Tapis Khas dijalankan oleh JSJN sahaja. Macam program jihad dadah, kita bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

"Kita fokus dalam aspek penyalahgunaan dadah, manakala agensi terbabit akan fokus isu pemulihan," katanya.