Monday, 16 May 2022

Bitcoin: Kes curi elektrik naik lebih 400 peratus

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Kes kecurian elektrik menerusi kegiatan perlombongan Bitcoin meningkat 400 peratus sejak empat tahun lalu dengan anggaran kerugian lebih RM2.3 bilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia membabitkan sejumlah 7,209 kes.

Katanya, mengikut rekod sebanyak 610 kes kecurian elektrik dikesan pada 2018 diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes (2021).

"Sejumlah 7,209 kes dikesan sepanjang empat tahun lalu bermula 2018 menyebabkan kehilangan lebih 4,545 GWh dengan anggaran kerugian lebih RM2.3 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, peningkatan kes ini dilihat satu trend yang membimbangkan kerana ia memberi kesan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan keselamatan awam.

Penggunaan melampau mesin melombong mata wang kripto berkuasa tinggi berterusan boleh menyebabkan litar pintas akibat penggunaan fius yang tidak mengikut piawaian dan beban melebihi kapasiti kabel, malah ianya berisiko yang boleh mengakibatkan kebakaran.

Takiyuddin turut meminta orang awam yang mengesyaki atau mempunyai maklumat berkenaan kecurian elektrik untuk melombong mata wang kripto menghubungi Suruhanjaya Tenaga, TNB di talian 15454 dan PDRM supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.  

"Kita bersama PDRM, ST, TNB serta PBT sentiasa melakukan pemantauan untuk mengesan premis yang disyaki melakukan kecurian atau penyambungan elektrik secara haram. Tindakan semua pihak bagi menangani masalah ini diharap dapat menjamin bekalan elektrik yang stabil demi keselesaan dan keperluan semua pengguna," katanya.