Sunday, 22 May 2022

Individu dakwa perhimpunan ulama, kemunculan Imam Mahdi dikenal pasti, siasatan lanjut dijalankan

  • Published in Jenayah


IPOH, 24 Januari- Individu yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi di Kuala Kangsar baru-baru ini telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al atrash Wahid berkata meskipun hantaran berkenaan telah dipadam, siasatan lanjut tetap dijalankan.

"Hantaran tersebut telah dipadam, kita nak tengok pun tak boleh 'acces'. Jadi siasatan sedang dijalankan, jika ada 'update' akan kami maklumkan. Tuan punya kedai pun tidak tahu tentang isu ini,ia dibuat oleh orang lain dan kita pun telah kenal pasti, subjek yang memuat naik video tersebut," katanya.

Terdahulu, video berdurasi lapan minit 56 saat telah dikongsi ribuan netizen.

Video itu memperlihatkan seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Sayong Lembah, tersebar sejak 20 Januari lalu.

Menerusi rakaman itu, lelaki itu mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang difahamkan berada di Sabah.

Susulan itu polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.