Monday, 16 May 2022

Isu MITRA: SPRM tahan 22 individu

  • Published in Jenayah

PUTRAJAYA, 22 Januari - Pengarah syarikat, presiden, setiausaha persatuan dan pertubuhan antara 22 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Penahanan dilakukan di di tujuh negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka semalam.

Enam daripada mereka ditahan reman antara empat ke enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya.

Manakala 16 individu lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber SPRM, operasi Mitra 2.0 itu menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana RM1 juta sehingga RM9 juta.

Sebelum ini, menurut sumber tersebut, SPRM mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan geran peruntukan tersebut sejak tahun 2019 sehingga 2021 dengan peruntukan kira-kira RM203 juta.

Pada Oktober 2021, SPRM menahan 18 individu membabitkan 10 syarikat, persatuan dan NGO bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan itu. 

SPRM juga bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman.

Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.