Monday, 16 May 2022

Hantar komunikasi jelik, penganggur mengaku tidak bersalah

  • Published in Jenayah

SHAH ALAM, 21 Januari- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memulakan hantaran komunikasi jelik menerusi akaun facebook pada Disember 2019.

Tertuduh, Mohammad Syafiq Iqbal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Syafiq didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya, menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca pada 23 Disember 2019 di sebuah pusat telekomunikasi, di Subang Jaya di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan.

Tertuduh perlu melapor diri di pejabat SKMM setiap bulan. Peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja.

“Tertuduh adalah anak ketiga daripada lima beradik, masih bujang serta mempunyai masalah kemurungan selepas kedua ibu bapanya bercerai,” katanya.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari depan.