Logo

Pembantu penguat kuasa ditahan, terima suapan RM20,000 sebulan sejak 2019.



KUALA LUMPUR, 21 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan penyata akaun bank syarikat.

Menurut sumber, permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret, Mohamad Farid Lateef, selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

"Suspek lelaki berusia 35 tahun ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh selama 20 bulan sejak Julai 2019 sebagai dorongan untuk meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta," katanya.

Sehubungan itu, SPRM kini sedang mengumpul dokumen berkaitan, selain merakam kenyataan beberapa saksi.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan, akan ada lagi tangkapan dibuat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.