Monday, 16 May 2022

Long Tiger dipenjara 12 bulan, lari dari tahanan polis

  • Published in Jenayah

TANGKAK, 20 Januari - Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab.Hamid dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana melarikan diri dari tahanan polis pada 15 Disember lalu.

Hukuman tersebut diputuskan Majistret Zaridah Y. Abdul Japar selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Long Tiger, 33 tahun telah dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan polis yang sah disisi undang-undang di Mahkamah Tangkak, Johor, pada 11.55 pagi, 15 Disember lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang bermula dari tarikh dia ditahan, 28 Disember.

Hukuman dijalankan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwaraya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara tertuduh diwakili peguam Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff.

Prosiding bagi tertuduh yang turut menghadapi empat lagi kes ditetapkan pada 14 dan 16 Februari depan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah setelah memberi alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis bertugas untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan melarikan diri ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan meloloskan diri dari kawasan lokap mahkamah.