Logo

3 lelaki tempatan ditahan di Genting Highlands, sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia tumpas

BENTONG, 19 Januari - Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai dalang sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Ketua Polis daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan dibuat bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong di Genting Highlands, Jumaat lalu.

Kesemua suspek berusia antara 30 tahun hingga 52 tahun, didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

Dalam serbuan, pihak polis juga berjaya menyelamatkan empat wanita warganegara asing berusia 26 hingga 41 tahun dan kesemua mereka dihantar ke rumah perlindungan di Kuala Lumpur.

Pihak polis turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah kenderaan jenis Nissan Almera dan Toyota Vios, wang tunai RM2,156, enam kondom pelbagai jenis, enam kad sim dan tiga beg pelbagai jenama.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan direman sehingga 21 Januari depan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.