Tuesday, 17 May 2022

Tahanan ditemukan mati dalam lokap, polis jalankan siasatan punca kematian

  • Published in Jenayah

KOTA BHARU, 17 Januari- Seorang suspek berkait kes pemilikan dadah yang ditemukan mati ketika berada di dalam lokap, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu Pengkalan Chepa, Kelantan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendant Mohd Suhaimi Ali berkata, siasatan masih dijalankan termasuk proses bedah siasat yang dilakukan hari ini.

Jelasnya, suspek lelaki berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang semalam.

Suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala pihak polis.

Katanya, suspek yang disangkakan tidur itu telah dikejutkan namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan.

"Suspek disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala oleh pihak polis. Pegawai perubatan yang tiba dari klinik kesihatan (Pengkalan Chepa) telah mengesahkan suspek telah meninggal dunia semasa pemeriksaan dijalankan", katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di IPD Kota Bharu.

Suspek ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek sebelum ini mendapati, dia didapati positif dadah jenis metamphetamine.