Sunday, 22 May 2022

PDRM siasat dakwaan minuman dicampur dadah

  • Published in Jenayah

IPOH, 16 Januari - Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan ADUN Pasir Bedamar, Terrence Naidu, kononnya minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini, di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, (JSJ) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis.

Semalam, Terence Naidu dalam kenyataan mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin; kerana disyaki positif dadah.