Monday, 16 May 2022

Sijil vaksinasi COVID-19 palsu, tujuh individu dibebaskan dengan jaminan polis.

  • Published in Jenayah



KUALA TERENGGANU, 15 Januari
- Seorang doktor swasta di Marang dan enam individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, kesemua dibebaskan selepas tempoh tahanan reman terhadap mereka tamat hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sebelum ini, doktor berusia 51 tahun itu ditahan reman dua hari manakala enam yang lain selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Ia susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil vaksinasi COVID-19 walaupun pembayaran telah dibuat.

Pada Sabtu, polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu di sebuah klinik swasta di Marang.

Suspek disyaki melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September lalu, dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

Lebih 1,900 sijil tersebut dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur dan Kedah.