Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

JKDM rampas hampir 4 tan bekalan mercun Tahun Baharu Cina

  • Published in Jenayah



RANTAU PANJANG, 14 Januari
- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3.96 tan mercun bernilai lebih RM130,000 termasuk cukai yang disembunyikan di dalam sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Atas Pinggir, di sini, Rabu lepas.

Menurut Pengarahnya, Mohd Nasir Deraman, dalam serbuan pukul 9 malam itu, pihaknya menemui 600 guni mercun jenis bola dan 15 kotak mercun jenis CN4002 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Pihaknya juga menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang dipercayai mengambil upah menyimpan bekalan mercun tersebut untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

"Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barang-barang tersebut melalui sempada Malaysia-Thailand yang mana mereka akan menggunakan khidmat penyeludup dengan membawa masuk mercun-mercun tersebut melalui sungai golok secara berperingkat.

Mercun-mercun yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat, sebelum dibawa ke Johor Bahru untuk pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Rantau Panjang, di sini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes tersebut melibatkan sindiket dan siasatan lanjut akan diteruskan.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM, 1-800-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.