Monday, 16 May 2022

Kurang 24 jam dibebaskan, doktor swasta ditahan semula disyaki terlibat penjualan sijil vaksinasi palsu

  • Published in Jenayah



MARANG, 14 Januari -
Seorang doktor swasta yang baharu sahaja dibebaskan dengan jaminan polis, ditahan semula selepas disyaki terlibat dalam penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu.

Suspek berusia 51 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, penahanan semula suspek susulan laporan polis dibuat individu yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran.

"Individu itu mendakwa telah membuat pembayaran sebanyak RM450 dan dijanjikan status MySejahtera dikemas kini sebagai penerima vaksin dalam tempoh 14 hari, namun sehingga kini tiada perubahan status," katanya.

Susulan dua laporan yang diterima, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman selama dua hari bermula hari ini.