Wednesday, 26 January 2022

updated 10:55 AM UTC, Jan 26, 2022

Tiga remaja bawah umur antara 23 individu didakwa promosi judi dalam talian

  • Published in Jenayah

GEORGE TOWN, 14 Januari - 23 individu termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town, atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian pada 7 Januari lalu.

Kesemua tertuduh termasuk empat wanita yang berusia 16 hingga 32 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa mempromosikan perjudian dalam talian dengan menggunakan set komputer pada 7 Januari lalu, pukul 5.45 petang dan 6.45 petang di sebuah kondominium di Jalan Kelawei dan Kondominium Persiaran Gurney.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM50,000, penjara tidak lebih tiga tahun dan jumlah denda sama bagi setiap mesin judi yang disita.

Rosnee kemudian membenarkan ikat jamin RM9,000 setiap orang dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil.