Wednesday, 26 January 2022

updated 10:55 AM UTC, Jan 26, 2022

Pecah amanah RM74,000 dua penolong akauntan mengaku tidak bersalah

  • Published in Jenayah

KUANTAN, 13 Januari- Dua penolong akauntan mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM74,000.

Tertuduh, Tengku Asraf Shah Tengku Yahya dan Zuraini Abdul Rahim@Abdul Rahman, kedua-duanya berusia 39 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan sebagai Penolong Akauntan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Raub antara Jun 2020 hingga Februari 2021.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah berkaitan wang milik Pejabat Kebajikan Daerah Raub berjumlah RM74,000 antara 22 Jun 2020 hingga 18 Februari 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi 20 tahun dengan sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain, membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang serta seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.