Wednesday, 26 January 2022

updated 11:13 AM UTC, Jan 26, 2022

Bunuh dua beradik, seorang penganggur didakwa

  • Published in Jenayah


KUALA LUMPUR, 12 Januari- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan membunuh dua beradik dalam satu insiden kebakaran di Kampung Baru Kundang, Selangor pada September tahun lalu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Tertuduh Mohd Fauzi Selamat didakwa membunuh seorang remaja perempuan, B Diviyah berusia 19 tahun dan adik lelakinya berusia tiga tahun, B Visnu di rumah mereka di Jalan Tambahan 2, Kampung Baru Kundang, Rawang, antara jam 10.10 pagi dan jam 10.40 pagi, pada 14 September 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh mengikut bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat dan kimia.