Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

Kes pinjaman wang tidak berlesen, polis tahan 801 ah long sejak Januari

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 9 September - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima 683 laporan berhubung kes pinjaman wang tidak berlesen dan menahan 801 ah long sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua laporan yang diterima melibatkan jumlah pinjaman lebih RM2 juta.

Sementara itu, 7 September lalu kira-kira pada pukul 11.30 malam JSJK Bukit Aman menjalankan Operasi Vulture secara serentak di Johor Bahru utara dan selatan serta Iskandar Puteri, Johor.

Hasilnya, 14 individu yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 15 hingga 34 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti ah long.

Sindiket itu didapati beroperasi sejak pertengahan tahun 2019 dan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman menerusi media sosial.

Pihak JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenal pasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang bergerak aktif di seluruh negara.

Beliau juga berkata golongan itu menawarkan pinjaman wang haram pada kadar faedah yang sangat tinggi disusuli dengan ancaman jenayah sehingga ke peringkat membunuh jika peminjam tidak mampu membuat bayaran kembali.

Polis meminta orang awam supaya tidak terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan pinjaman wang dengan memastikan hanya membuat pinjaman daripada syarikat pinjaman wang berlesen.