Logo

Langgar SOP ketika Aidiladha, 25 warga Bangladesh didenda

GEORGE TOWN, 23 Julai - Mahkamah Sesyen George Town memerintahkan denda 125 Ribu Ringgit terhadap 25 Warga Bangladesh selepas didapati bersalah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Hari Raya Aidiladha, Selasa lepas.

Hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu diputuskan Hakim Norsalha Datuk Hamzah selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah, di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia antara 23 hingga 41 tahun didakwa berhimpun bersama orang lain bagi maksud sosial di dalam sebuah rumah di Taman Desa Mutiara, Batu Maung, pukul 9 malam Selasa lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) P.U (A) 293/202.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut diberitahu kesemua tertuduh bekerja sebagai buruh binaan di bawah satu syarikat namun hanya 21 daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid.

21 tertuduh diwakili peguam menerusi majikan mereka, Muhammad Arif Shaharuddin.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.