Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Miliki dan guna MyKad palsu, wanita Indonesia didenda RM14,000

  • Published in Jenayah

GEORGE TOWN, 22 Julai - Seorang wanita Indonesia didenda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret George Town selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan atau MyKad palsu.

Tertuduh, Ziehara Toding, 22 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R. Manomani sejurus pertuduhan dibacakan keatasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pekerja sosial di sebuah motel di Pulau Pinang didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera atas identiti orang lain.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang sudah menetap di negara ini kira-kira lima tahun itu didakwa dengan sengaja memiliki MyKad tesebut atas nama Ziehara Boisi sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 1-17-04, Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang, George Town antara pukul 12:30 tengah hari dan 2:30 petang Sabtu lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah memutuskan denda RM8,000 terhadap tertuduh atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Azry Ahmad.

Tertuduh tidak diwakili peguam.