Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Dadah lebih RM8.6 juta dirampas, siasat kaitan dengan sindiket antarabangsa

  • Published in Jenayah

PASIR MAS, 9 Jun - Syabu seberat 41 kilogram dan 720,000 biji pil kuda di anggarkan bernilai lebih RM8.6 juta di rampas dalam satu serbuan di sebuah rumah kosong di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, kelmarin.

Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun turut ditahan.

Serbuan menerusi Op Benteng COVID-19 itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) sekitar jam 4.30 petang.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali, pihaknya melakukan intipan selama 4 jam sebelum serbuan dilakukan sebaik suspek memasuki rumah terbabit.

Lapan bungkusan plastik hitam syabu dan pil kuda itu ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan.

Beliau bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Bekalan pil Yaba dipercayai di peroleh dari negara jiran untuk pasaran negeri-negeri Pantai Timur manakala syabu pula untuk pasaran sekitar Lembah Klang serta Johor.

Datuk Kasuahdi menambah, siasatan turut menjurus kemungkinan sindiket juga terlibat dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah itu ditahan reman seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kawalan di sempdan negara diperketat ekorankebimbangan 81 pelarian Rohingya yang mendarat di pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia mungkin cuba menyekudup memasuki negara.

Menurut laporan media Indonesia, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak.